Rabu, 31 Disember 2025

Pejuang Nafi Sertai PN, Tun M Tak Pernah Setuju Jadi Pengerusi Baharu


Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini tampil menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang mendakwa parti itu telah menyertai Perikatan Nasional (PN), selain dakwaan pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi baharu gabungan pembangkang tersebut.


Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, menjelaskan bahawa terdapat kenyataan media palsu yang sengaja ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab susulan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.


Beliau menegaskan bahawa Pejuang tidak akan membuat sebarang keputusan politik secara terburu-buru yang boleh membelakangkan rakan strategik sedia ada.


"Pejuang tidak akan membuat sebarang keputusan politik secara sebelah pihak atau tergesa-gesa yang membelakangkan rakan-rakan strategik yang selama ini berkongsi aspirasi dan prinsip perjuangan," katanya dalam satu kenyataan rasmi.


Mengulas mengenai jawatan Pengerusi PN, Rafique menjelaskan bahawa Dr. Mahathir tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan mengenai sebarang pelantikan dalam mana-mana gabungan politik seperti yang digambarkan dalam berita tular tersebut.


Untuk rekod, Dr. Mahathir merupakan pengasas Pejuang namun telah meninggalkan parti itu pada Disember 2022 selepas kekalahan pada PRU15.


Sejarah hubungan beliau dengan Muhyiddin juga sering bergelora, di mana Dr. Mahathir sebelum ini pernah melemparkan tuduhan berat terhadap Muhyiddin berhubung dana parti Bersatu dan motif mengejar jawatan Perdana Menteri.


Rafique menambah, Pejuang sangat berhati-hati dalam menentukan hala tuju politik kerana berpendapat perpecahan politik yang berterusan hanya akan menjejaskan ekonomi negara serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.


Khabar angin mengenai kemasukan Pejuang ke dalam PN timbul ketika gabungan itu sedang berdepan keretakan serius antara PAS dan Bersatu susulan krisis pelantikan Menteri Besar di Perlis. Krisis tersebut menyaksikan jawatan Menteri Besar beralih daripada PAS kepada Bersatu, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam organisasi PN yang diterajui Muhyiddin.


EmoticonEmoticon