Selasa, 5 Mei 2026

UMNO sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut di tiga negeri


UMNO sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) mengejut sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dibubarkan.


Presiden UMNO dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil sebagai persediaan awal sekiranya DUN di tiga negeri berkenaan dibubarkan dalam masa terdekat.


"Apa yang paling penting apabila mandat kepada rakyat ini kita serahkan semula, maka rakyat harus memilih kombinasi yang terbaik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Kami Gen MARA sempena Karnival 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia, di Kuala Lumpur hari ini.


Turut hadir Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Ditanya sama ada UMNO sudah mengenal pasti calon bagi menghadapi pilihan raya berkenaan, Zahid berkata, masih terlalu awal untuk berbuat demikian.


Terdahulu, DAP dilapor mengarahkan seluruh jentera parti bersiap siaga menghadapi kemungkinan PRN mengejut sekiranya DUN di tiga negeri dibubarkan dalam masa terdekat.


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti pada malam tadi yang turut membincangkan perkembangan krisis politik di Negeri Sembilan.


Dalam pada itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri enggan mengulas mengenai mesyuarat pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang dijadualkan diadakan malam ini di Kompleks Sri Perdana di Putrajaya.


"Nantilah kita keluarkan kenyataan. Yang akan mengeluarkan kenyataan itu biarlah Setiausaha Agung kepada UMNO dan Setiausaha Agung kepada PH sendiri," katanya.


Terdahulu, media melaporkan Biro Politik PH dan UMNO dijadual mengadakan mesyuarat bersama bagi membincang dan merundingkan beberapa perkara berkaitan hal politik pada 8 malam ini.


Mesyuarat yang bakal dihadiri pimpinan utama PH dan UMNO itu, akan turut menyentuh kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan, terutama berkaitan tindakan menarik sokongan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.


Sumber berkata, hal berkaitan pilihan raya terutama PRN di beberapa negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, antara tumpuan perbincangan mesyuarat malam ini, selain hal berkaitan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon