Selasa, 5 Mei 2026

Luar biasa, pemuda hadiahkan 2.5 hektar kebun kelapa sawit sebagai mas kahwin


Biasanya mas kahwin diberikan dalam bentuk barang kemas atau wang tunai, namun berbeza dengan seorang pemuda di Garut, Jawa Barat apabila menghadiahkan kebun kelapa sawit sebagai mas kahwin kepada isterinya untuk membuktikan cintanya.


Portal berita Wolipop melaporkan, Wilky Windya, 25, yang melangsungkan berkahwin dengan pasangannya, Redho Abdul Mufli, 25, baru-baru ini menerima mas kahwin berupa sepersalinan peralatan solat, sebuah motosikal dan kebun kelapa sawit seluas 2.5 hektar.


Kisah ini menjadi tular selepas dikongsi di akaun TikTok milik pengantin perempuan itu sendiri. Dalam video itu, pengantin perempuan dilihat sebak dan terharu semasa proses akad nikah berlangsung dengan kapsyen pada video: 'Apabila kesabaran dibalas dengan kebun sawit'.


Video itu ditonton lebih 276,800 kali dan menerima banyak ucapan daripada warganet. Di sebalik kegembiraan itu, Wilky mendedahkan hubungan mereka penuh cabaran dan berliku sebelum berakhir di jenjang pelamin.


Wilky yang bekerja di Penjara Wanita Bandung, mengakui dia pernah tawar hati dengan suaminya kerana sering dikecewakan.



"Hubungan kami bukan mudah. Sebab itu saya tulis 'kesabaran dibalas dengan kebun kelapa sawit', kerana saya pernah dikecewakan beberapa kali olehnya," katanya.


Kerana terlalu kecewa, wanita itu pernah menyekat semua hubungan komunikasi dengan lelaki berkenaan.


"Bila kesabaran saya habis, saya tidak mahu berhubung dengannya lagi, semua saya sekat. Tetapi dia tetap berusaha, sampai menggunakan nombor pejabat untuk hubungi saya.


"Dalam keadaan marah, saya saja-saja berkata, kalau benar dia serius, datanglah jumpa keluarga saya," katanya.


Menurut Wilky, suaminya bukan hanya berjumpa keluarga, tetapi turut berjanji akan menghadiahkan kebun kelapa sawit.


Katanya, dia tidak menyangka permintaan itu ditunaikan suaminya, kerana Wilky pada mulanya hanya menganggap ia hanya janji kosong untuk memujuknya.


"Pada mulanya saya tidak percaya, saya ingat dia hanya mahu memujuk. Tapi keluarganya sendiri mengesahkan semua itu benar dan tanda kesungguhannya suami untuk berkahwin dengan saya," katanya.


Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung mengikut adat Sunda di Aula Masjid Annur, Desa Wanasari, Wanaraja, Garut.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon