Maklumat berkaitan isu pembinaan Projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani bernilai RM75 juta termasuk kemungkinan berlakunya penyelewengan akan didedahkan apabila tiba masanya kelak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan sedang dilakukan pihak berkuasa berhubung projek terbabit yang diumumkan pada 2022, sebelum sebarang tindakan lanjut diambil ke atas pihak berkaitan.
"Saya difahamkan ada pihak yang sudah membuat laporan, kalau betul ada (penyelewengan), saya serah pada autoriti berkenaan.
"Pada peringkat ini saya tak mahu beri sebarang komen, walaupun hakikatnya saya ada banyak maklumat berkaitan, tetapi saya pilih tidak bercakap dulu.
"Kadang-kadang apa yang saya cakap akan diberi tafsiran wujudnya motif politik dan sebagainya, jadi biar proses siasatan dilakukan dahulu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sentuhan Budi Mangsa Ribut Bandar Baharu hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi AMANAH Kedah mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan audit ke atas Projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.
Ia bagi memastikan tidak berlakunya penyelewengan selepas wujud dakwaan berlakunya ketirisan dalam projek terbabit apabila RM10 juta dikatakan sudah dibelanjakan bagi kerja penyediaan tapak sebelum ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Muhammad Sanusi tidak boleh mengelak daripada memikul tanggungjawab apabila mengumumkan projek terbabit secara besar-besaran pada 2022.
Katanya, terdapat perbezaan apabila projek berkenaan diumumkan ketika beliau mentadbir negeri dan mempunyai tanggungjawab di atas setiap pengumuman yang dibuat.
"Saya tahu apa yang tersurat dan tersirat di sebalik projek berkenaan. Sampai masanya saya akan sebut beberapa maklumat menarik di sebalik projek demikian.
"Cuma yang nak saya sebut bahawa, tak sama masa jadi pembangkang berucap dan diberi tanggungjawab sebagai kerajaan yang bercakap. Apabila jadi kerajaan, kita ada tanggungjawab dan pertangungjawaban.
"Kalau sudah umum, bukan satu, bukan dua, bahkan tujuh ke lapan projek... jadi rakyat akan mula melihat setelah sekian lama tak akan satu pun tak siap, takkan semua orang salah," katanya.

EmoticonEmoticon