Khamis, 30 April 2026

Pegawai tentera mabuk didakwa bunuh warga Bangladesh di mahkamah


Seorang pegawai tentera dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki Bangladesh dalam kemalangan maut di Lebuhraya Maju (MEX) pada 23 April lalu.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kapten Jad Faid Arhan, 31, yang bertugas di bahagian artileri Kementerian Pertahanan, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Beliau didakwa menyebabkan kematian Muzahid Millad, 22, seorang pencipta kandungan permainan video yang dikenali sebagai 'Advance Gaming' pada jam 5.30 pagi di Kilometer 1.9 MEX dari arah Salak Selatan menuju ke Jalan Tun Razak pada 23 April lalu dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.


Jad Faid yang memakai kemeja-T berkolar merah dan seluar denim biru gelap, hanya berkata 'saya faham (pertuduhan)' dan kelihatan tenang di kandang tertuduh.


Beliau yang digari diminta majistret untuk menanggalkan pelitup muka sebelum prosiding bermula. Illi Marisqa tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan kes itu.



Pendakwaan kes itu dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani serta Izzat Amir Idham, manakala Jad Faid diwakili peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah.


Sementara itu, di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmyn Tuan Roslan, Jad Faid mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu kereta Ford Fiesta dalam keadaan mabuk.


Perbuatannya itu menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan lalu mencederakan penumpang e-hailing warga Bangladesh, Nafisa Tabassum Adiba, dan pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, yang parah.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu dengan paras alkohol melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang kenderaan e-hailing yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000.


Nordin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan yang sama seperti kes sebelumnya, manakala Muhammad Nazreen pula memaklumkan pihak pembelaan tidak akan memohon jaminan memandangkan terdapat pertuduhan bunuh.


Tengku Syazwany Yasmyn tidak membenarkan jaminan dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.


Dalam kejadian pada 23 April lalu, kereta dipandu Jad Faid dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan e-hailing dinaiki Muzahid dan isterinya, Nafisa yang sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar.


Muzahid maut di tempat kejadian, manakala isterinya dan pemandu kenderaan e-hailing itu parah dan dirawat di hospital.


Polis memaklumkan ujian pernafasan terhadap suspek menunjukkan paras alkohol melebihi had dibenarkan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon