Wanita warga China ditahan selepas dipercayai menceroboh kawasan keselamatan di Pintu Pelepasan Antarabangsa C, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi Munusamy berkata, kejadian itu tular di media sosial apabila suspek dilihat bertindak agresif ketika berada di kawasan pelepasan antarabangsa berkenaan.
Menurutnya, kejadian berlaku jam 1.35 tengah hari semalam, apabila suspek, seorang wanita warga China didapati melepasi pintu autogate pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki sebarang tiket penerbangan.
Katanya, suspek bertindak agresif apabila cuba diperiksa oleh petugas keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa C, Terminal 1 KLIA.
"Bertindak atas maklumat diterima, suspek ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA jam 1.45 tengah hari pada hari sama," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu kejadian itu tular di media sosial apabila wanita berkenaan bertindak agresif ketika ditahan pihak berkuasa dan disaksikan orang ramai.
Hasil siasatan mendapati wanita terbabit memasuki negara ini pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya, namun dipercayai tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli tiket pulang ke negara asal.
Ravi berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan dibenarkan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Katanya, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam terutama di Terminal KLIA 1 dan KLIA 2.

EmoticonEmoticon