Pendekatan berkesan kerajaan dalam pengurusan kewangan negara membolehkan hasil sebanyak RM31 bilion dijana tanpa perlu memperkenal atau menaikkan kadar cukai sedia ada yang akan membebankan rakyat, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, jumlah itu sekali gus memberi gambaran positif kepada usaha kerajaan menerusi tiga tonggak utama Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.
"Bagaimana kerajaan mendapatkan hasil RM31 bilion? pertama, RM15.5 bilion daripada tatakelola mengurangkan ketirisan dan melaksanakan (perolehan) mengikut prosedur, seperkara lagi juga RM15.5 bilion diperoleh apabila disasarkan subsidi kepada kumpulan yang tepat, sama ada elektrik, RON95 atau diesel.
"Bererti ini pengurusan kewangan menarik dan kreatif, RM31 bilion yang sebelum ini tidak ada, dapat diperoleh tanpa kerajaan perlu menaikkan atau tambah cukai baru," katanya ketika ditemui di Wisma Bernama di Kuala Lumpur semalam.
Ahmad berkata, ia sekali gus memberi ruang kepada kerajaan memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan kepada kebajikan rakyat terutamanya dalam sektor penting seperti prasarana, kesihatan dan pendidikan, seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 memaklumkan tatakelola baik Kerajaan Madani termasuk melibatkan aktiviti penguatkuasaan serta rampasan dan penalti, sejumlah RM15.5 bilion wang yang disakau dan dirompak dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata, langkah penyasaran subsidi pula berjaya menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion ringgit setahun, seterusnya membolehkan kerajaan menyalurkan dana lebih tinggi dalam skop kebajikan, kos sara hidup serta pelaburan prasarana untuk rakyat.
EmoticonEmoticon