Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung selar sepanjang empat meter hampir menyerangnya dalam kejadian di Kampung Che Wal, Telekong di Kuala Krai semalam.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika lelaki berusia lingkungan 50-an tersebut sedang membersihkan kawasan rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi pelik.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Sukarelawan Guchil, Mohd Hamdan Mahadi berkata, pada peringkat awal mangsa menyangkakan haiwan tersebut adalah biawak, namun terkejut apabila mendapati ia seekor ular.
"Kehadiran reptilia itu disedari semasa lelaki berkenaan mahu mengusirnya keluar.
"Ular tersebut bertindak agresif dan cuba menyerang mangsa sebelum menyusur ke arah dapur dan bersembunyi di bawah rak pinggan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, lelaki berkenaan kemudian menghubungi Bomba Sukarelawan Guchil untuk mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, pasukan mengambil masa kira-kira dua minit untuk menangkap ular tedung selar berkenaan.
Ujarnya, reptilia itu akan dibebaskan semula ke kawasan habitat asal yang jauh dari kediaman penduduk kampung.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kawasan rumah bersih kerana keadaan cuaca sekarang mendorong ular mencari tempat perlindungan di kawasan kediaman," katanya.
EmoticonEmoticon