Jumaat, 28 Ogos 2026

Lelaki warga Pakistan dikaitkan penemuan van jenazah hilang didenda RM1,800


Lelaki warga Pakistan yang sebelum ini menjadi tumpuan susulan penemuan van jenazah yang hilang di bengkel miliknya didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.


Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Afsar Shah, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.


Mahkamah turut memerintahkan lelaki warga Pakistan itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.


Mengikut pertuduhan, Afsar didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sebuah premis berpagar zink tanpa nombor dan nama di Bukit Kapar, Klang. Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 7.20 malam pada 7 Ogos lalu.



Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil (Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian) (MPK) 2007 dan boleh dihukum di bawah Undang-Undang Kecil 39 undang-undang kecil sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.


Peguam Mark Jeyakumar dalam mitigasinya memaklumkan tertuduh memohon maaf dan berjanji perkara itu tidak berlaku lagi.


Katanya, tertuduh sebelum ini sudah menyerah diri ke balai polis untuk kes lain membabitkan curi kereta dan siasatan diselesaikan dengan lelaki itu bukan suspek utama.


"Tertuduh juga sudah direman 15 hari dengan tempoh itu ibarat hukuman kepadanya," katanya.


Timbalan Pendakwa Raya Mohammad UzzairRosman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.


Media sebelum ini melaporkan sebuah van jenazah yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui dalam serbuan di sebuah premis bengkel kenderaan lama dan terpakai di Bukit Kapar, Klang pada awal bulan ini.


EmoticonEmoticon