Jumaat, 28 Ogos 2026

Pesta dadah di inap desa: Enam individu didakwa edar 659.16 gram MDMA


Enam individu termasuk tiga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini atas pertuduhan bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 659.16 gram di sebuah inap desa di Taman Nordin, Tawau, awal pagi kelmarin.


Tertuduh ialah Hang Vui Hiung, 29, Lisyanti Ibrahim, 39, Shazzreena, 20, Muhammad Haikal Daniel Azman, 23, Sherlin Liew Zi Ling, 26, dan Andi Moh Arifai Tatta, 29.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 4.30 pagi di tingkat bawah dalam sebuah bilik inap desa berkenaan.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.



Semua tertuduh mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar dadah itu memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Dalam pertuduhan kedua, semua tertuduh didakwa bersama-sama mempunyai dalam kawalan mereka dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar 1.16 gram pada tarikh, masa dan lokasi sama. Bagi pertuduhan itu, semua tertuduh mengaku salah.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.


Mahkamah kemudian menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia berhubung berat sebenar dadah, seperti dimohon pihak pendakwaan.


Tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.


Semua tertuduh sebelum ini direman selama empat hari bermula 26 Ogos lalu selepas ditahan dalam satu serbuan susulan aduan dan maklumat mengenai pesta dipercayai membabitkan penyalahgunaan dadah di inap desa.


Premis penginapan mewah itu dipercayai menawarkan kadar sewaan kira-kira RM1,500 semalam.


EmoticonEmoticon