Dua lelaki ditahan selepas disyaki memeras seorang warga asing dengan menyamar sebagai anggota penguat kuasa dalam kejadian di Kampung Koidupan Sugud di Penampang, tengah malam tadi (Jumaat).
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, dua suspek masing-masing berusia 19 dan 28 tahun itu dipercayai meminta wang sebanyak RM1,500 daripada mangsa selepas mendakwa lelaki berkenaan melakukan kesalahan mengenai dokumen pengenalan diri.
"Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, kedua-dua suspek yang memakai pakaian seragam menyerupai agensi penguat kuasa meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri sebelum mendakwa mangsa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport.
"Bagaimanapun, apabila kedua-dua suspek diminta menunjukkan kad kuasa, mereka tiba-tiba cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa yang dipercayai digunakan suspek.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam.
"Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
"Manakala Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

EmoticonEmoticon