Jumaat, 28 Ogos 2026

Suami pukul isteri kerana keluar ke kedai tanpa izin dipenjara 6 bulan


Gara-gara isteri keluar ke kedai tanpa pengetahuannya, seorang pengamal rawatan terapi dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini kerana mencederakan wanita berkenaan.


Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 41 tahun selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.


Hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Ogos lalu. Sebaik hukuman dijatuhkan, tertuduh yang juga bapa kepada tujuh anak dilihat menangis sambil mengesat air mata.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan isterinya berusia 37 tahun dengan memukul kepala serta menolak wanita itu ke dinding dalam kejadian di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat, kira-kira jam 5.30 petang, 17 Ogos lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.


Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan bagi kesalahan di bawah Seksyen 323.


Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul dan ditolak ke dinding oleh tertuduh selepas pulang dari kedai.


Mangsa pada mulanya tidak mengetahui punca tertuduh bertindak demikian sehingga menyebabkan kepalanya bengkak serta mengalami sakit pada badan.


Bertindak atas laporan berkenaan, polis menjalankan siasatan sebelum menahan tertuduh di tepi jalan bagi membantu siasatan.


Hasil siasatan mendapati tertuduh bertindak demikian kerana tidak berpuas hati mangsa keluar ke kedai tanpa pengetahuannya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon