Belum sempat memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney, seorang pemuda berusia 21 tahun kembali berdepan pertuduhan apabila didakwa melakukan amang seksual fizikal dan cubaan merogol adik perempuannya yang lain.
Tertuduh yang juga anak sulung daripada empat beradik didakwa melakukan kesalahan terhadap adiknya yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Umbai, Merlimau, Jasin.
Tertuduh yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa. Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira jam 1 tengah hari pada 6 Jun lalu dan jam 9.30 malam pada 20 Ogos lalu di lokasi sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh yang merupakan anak sulung daripada empat beradik terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan, sebelum ini pernah disabitkan atas kesalahan merogol seorang lagi adiknya yang ketika itu berusia 15 tahun. Tertuduh menjalani hukuman lebih dua tahun di Sekolah Henry Gurney.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu atau mendekati mangsa serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan baru sahaja keluar dari pusat pemulihan selain mahu membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
Hakim Raja Noor Adilla membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta bersetuju dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes selain serahan dokumen.

EmoticonEmoticon