Penjualan rokok elektronik atau vape diharamkan di negeri Perlis berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan larangan penggunaan vape yang diputuskan haram menerusi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengenai rokok elektronik itu pada 2022.
"(Sehubungan itu) mana-mana peniaga vape (di Perlis) kena bersiap sedia untuk mencari perniagaan baharu, lesen dan operasi perniagaan mereka akan dihentikan (mulai 1 Ogos nanti)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kangar hari ini.
Mohd Shukri berkata, meskipun tidak dapat mengekang penggunaan vape sepenuhnya, namun beliau optimis dengan tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada terjebak dengan pengambilan vape.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan yang menjual vape itu selepas 1 Ogos nanti.
EmoticonEmoticon