Seorang guru mengaji al-Quran menangis di hadapan hakim dan merayu supaya hukumannya diringankan atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga anak murid lelakinya, dalam tempoh tiga tahun bermula 2023.
Tertuduh, Hanafi Hassan, 64, dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Hakim Zulkpli Abdullah selepas mengaku bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan melibatkan tiga mangsa kanak-kanak lelaki berusia 9, 10 dan 11 tahun.
Hanafi memohon hukumannya diringankan atas alasan sudah berusia selain turut menjadi penanggung tunggal keluarga.
"Assalamualaikum tuan, pak cik mohon tuan ringankan hukuman pak cik seringan-ringannya memandangkan pak cik sudah tua.
"Pak cik ada empat anak berusia lebih 30 hingga 25 tahun, seorang anak orang kurang upaya berusia 27 tahun dan pak cik seorang saja bekerja jadi tulang belakang keluarga.
"Pak cik menyesal di atas perbuatan terkutuk ini, pak cik merayu hukuman seringan-ringannya," rayunya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak bermula ketika mangsa berusia sembilan tahun empat bulan pada Mei 2023, 16 Mac 2024, 26 Januari dan 11 Oktober tahun lepas.
Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak berbeza bermula semasa mangsa berusia sembilan tahun 11 bulan pada 25 September, 2 Oktober dan 24 Oktober tahun lepas.
Pada pertuduhan lapan dan sembilan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lain berusia 11 tahun dua bulan pada 23 November dan 7 Disember tahun lepas.
Kejadian-kejadian berlaku berasingan antara jam 8 pagi hingga 5.45 petang di tandas, bilik mandi dan stor di dua masjid serta sebuah stor kedai gunting rambut di Kusial Bharu, Tanah Merah.
Kesemua kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, selepas tertuduh mengemukakan rayuannya, Siti Aiysha Na’ilah pula berhujah satu hukuman berat penting bagi menyampaikan mesej bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak merupakan jenayah serius dan tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.

EmoticonEmoticon