Polis memburu seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan insiden tular membabitkan dakwaan cubaan culik dan gangguan fizikal terhadap murid sekolah, di Arau semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu berusia 41 tahun pada jam 1 tengah hari tadi.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ketika kejadian pada jam 5.45 petang semalam, pengadu bersama isterinya sedang melatih pelajar kelas silat di padang sekolah rendah berkenaan.
"Pengadu mendapati seorang lelaki warga asing masuk ke pekarangan sekolah melalui pintu pagar belakang, terus ke kawasan padang tempat mereka berlatih. Suspek kemudian bertindak memegang, mengangkat serta mencium beberapa murid lelaki tanpa sebab munasabah," katanya.
Ahmad Mohsin berkata, pengadu yang curiga dan bimbang suspek mempunyai niat buruk segera menghalang perbuatan lelaki terbabit, mengarahkan suspek beredar dari kawasan itu sebelum dibantu pengawal keselamatan sekolah yang tiba untuk mengusirnya dengan segera.
"Suspek terus beredar meninggalkan kawasan sekolah dan melarikan diri menuju ke kawasan hutan berdekatan. Pengadu juga memaklumkan bahawa suspek didapati tidak mahir menggunakan bahasa Melayu, sebaliknya hanya bercakap dalam bahasa Thailand," katanya.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis sudah berjumpa bersama pihak sekolah bagi mengesahkan insiden berkenaan dan dimaklumkan mereka sudah berbincang bersama pengadu dan menasihatkannya membuat laporan polis demi keselamatan murid lain.
"Laporan itu dirujuk kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek terbabit," katanya.

EmoticonEmoticon