Johor Darul Ta'zim (JDT) mengakhiri saingan Liga Super musim ini dengan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 24 perlawanan apabila membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) 14-1 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru malam tadi.
Lebih manis kejayaan itu dikecapi selepas skuad Harimau Selatan melakar pencapaian rekod tanpa kalah 108 perlawanan sejak musim 2021 dan menyamai rekod dunia dilakar kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas sejak dari tahun 1989 hingga 1994.
Rentak kemenangan JDT bermula seawal minit pertama berpunca daripada bola sepakan lintang Jonathan Silva tepat kepada Bergson da Silva yang menanduk bola kemas menewaskan penjaga gol, Azfar Arif Mohd Sukri.
Bergson mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-11 sekali gus berjaya meledak 23 gol dan menyamai jaringan penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes.
Skuad Harimau Selatan terus mengganas selepas Silva yang yang mencetus gerakan pada minit ke-16 pantas melorongkan bola bagi membuka ruang buat Manuel Hidalgo merembat kencang untuk gol ketiga skuad bimbingan Xisco Munoz.
Selang dua minit kemudian, Antonio Glauder menjadikan kedudukan 4-0 sebelum Hidalgo menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-25.
Bergson bukan sahaja meledak hatrik malah gol pada minit ke-36 membolehkannya memintas Moraes selaku penjaring terbanyak.
Ketika aksi memasuki minit ke-37, JDT meledak gol ketujuh menerusi Stuart Wilkin sebelum Bergson menjaringkan gol kelapan.
Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-50 selepas bola sepakan lintang Hidalgo memudahkan tugas Yago Cesar menanduk bola masuk menewaskan Azfar Arif.
Persembahan lesu Kelantan TRW dihukum JDT pada minit ke-52 apabila bola sepakan lintang Teto Martin menyaksikan Bergson sempat mendada bola sebelum merembat bola leret untuk menambah koleksi jaringan ke-26.
Gol ke-11 skuad Harimau Selatan hadir pada minit ke-61 menerusi Hidalgo yang menanduk masuk sekali gus melakar hatrik pertama buat dirinya dalam saingan liga.
Walaupun sukar melakukan kebangkitan namun Kelantan TRW sekurang-kurangnya mampu mencipta satu gol pada minit ke-64 selepas bola tandukan Nik Umar Nik Azizi membuka ruang buat Faris Izdiham Awang Kechik menolak bola masuk menewaskan penjaga gol, Christian Abad.
Bagaimanapun, jaringan itu tidak menghalang JDT terus menambah duka Kelantan TRW selepas Bergson melengkapkan hatrik berganda dalam perlawanan itu pada minit ke-83.
Berbaki lima minit sebelum tamat perlawanan, pemain gantian Syamer Kutty Abba menanduk bola kemas untuk meletak kedudukan 13-1 sebelum giliran Martin memastikan kemenangan terbesar JDT dalam sejarah saingan liga selepas merembat bola leret hasil umpanan Hidalgo.

EmoticonEmoticon