Seorang abang sulung dihukum penjara 18 tahun dan 20 sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik kandung semasa gadis itu berusia 13 tahun, di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini.
Duda juga penganggur lelaki berusia 29 tahun itu dihukum selepas mengakui semua pertuduhan dan fakta yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Berdasarkan fakta kes, salah satu kejadian rogol juga berlaku semasa mangsa tidak ke sekolah kerana demam.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun pada jam 10 pagi, sekitar Disember tahun lalu di sebuah rumah di Tanah Merah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa ketika berusia 13 tahun lima bulan, pada jam 12.45 tengah malam, 4 Mei lalu di lokasi sama.
Kedua-dua pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, tertuduh yang mempunyai 11 beradik berkenaan memohon untuk ditempatkan di Penjara Bentong kerana pernah menghuni penjara tersebut atas kesalahan dadah sebelum ini.
Siti Aiysha Na’ilah pula berhujah bahawa hukuman perlu benar-benar memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
"Mohon mahkamah ambil kira juga hampir saban hari mahkamah ini mengendalikan kes-kes jenayah seksual melibatkan mangsa kanak-kanak.
"Kes ini juga amat serius kerana tertuduh ialah abang kandung yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa sebagai adiknya namun melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa yang masih remaja," katanya.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman itu selain mengenakan perintah tambahan dengan mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang di penjara serta pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman itu.

EmoticonEmoticon