Khamis, 13 Ogos 2026

Kanak-kanak 10 tahun jaga kedai di tapak binaan antara 59 warga asing ditahan Imigresen di Ayer Keroh


Seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia selepas ditemui menjaga sebuah kedai runcit di tapak pembinaan di Ayer Keroh, Melaka semalam.


Kanak-kanak berusia 10 tahun dikenali sebagai Danish itu antara 59 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Kutip) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di dua tapak pembinaan sekitar Bukit Baru.


Dalam pemeriksaan itu, Danish ditemui menjaga kedai runcit yang dipercayai diusahakan pekerja warga Indonesia di kawasan tapak pembinaan berkenaan selepas ibunya pulang sementara ke negara asal.


Tinjauan mendapati kedai berkenaan masih beroperasi ketika pemeriksaan dilakukan walaupun pemiliknya tiada di lokasi.


Kedai itu turut dilengkapi kemudahan seperti sambungan internet jalur lebar, komputer peribadi (PC) dan penghawa dingin, dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).


Danish mendakwa dia berada di Malaysia sejak lebih setahun lalu selepas datang bersama keluarganya menaiki kapal terbang dan sebelum ini menetap di Semabok sebelum berpindah ke Ayer Keroh.


Menurutnya, dia tidak bersekolah secara formal sebaliknya mengikuti pembelajaran secara dalam talian selain membantu ibu bapanya menjaga kedai berkenaan bersama neneknya.


Katanya, sepanjang tinggal di tapak pembinaan berkenaan, dia pernah mengalami kecederaan seperti terkena barang yang dibaling dari kawasan kerja.


Saya nak pulang ke Indonesia tetapi disebabkan wang masih belum ada, saya tidak dapat pulang, katanya ketika ditemui di rumah kongsi tapak pembinaan itu.


Sementara itu, nenek Danish, Faridah, 58, yang turut diperiksa dalam operasi itu mendakwa dia hanya membantu menjaga kedai sementara ibu kanak-kanak berkenaan pulang ke Indonesia.


Wanita itu memberi alasan terlupa memperbaharui pas perjalanan yang tamat tempoh sejak tiga tahun lalu dan mengakui sudah tinggal di Malaysia lebih tujuh tahun serta pernah bekerja sebagai buruh binaan.


Saya tahu pas dah tamat tempoh tetapi selama beberapa tahun saya tidak pernah ditahan, cuma kali ini, katanya.


Sementara itu, Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan ke atas 73 individu termasuk warga tempatan.


Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 10 hingga 54 tahun termasuk seorang wanita membabitkan 44 warga Bangladesh, sembilan Indonesia, tiga Myanmar dan tiga Pakistan atas pelbagai kesalahan imigresen.


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun disyaki warga Indonesia turut ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, katanya dalam kenyataan.


Anirwan berkata antara kesalahan disyaki dilakukan adalah mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut.


Dalam operasi itu KPDN Melaka turut mengeluarkan beberapa kompaun kepada pemilik kedai runcit termasuk membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana tidak mempamerkan tanda harga.


Penguatkuasa Imigresen menyoal siasat sorang budak lelaki warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Imigresen Melaka bersama KPDN di Ayer Keroh, semalam - Foto NSTP.


EmoticonEmoticon