Rabu, 12 Ogos 2026

Promosi judi dalam talian: Pempengaruh terlepas penjara, dikenakan bon berkelakuan baik dua tahun


Pempengaruh wanita terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Majistret Marang, hari ini, memerintahkannya menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian.


Majistret Nur Athirah Hashim membuat keputusan itu terhadap Nur Syakilla Natasya Sukri, 20, selepas mengambil kira laporan sosial yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta rayuan pihak pembelaan.


Tertuduh diwakili peguam Muhamad Ramlan Taib, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sarah Syamimi Safie.


Mahkamah turut dimaklumkan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, Shahrizal Ali menyediakan laporan sosial kerana tertuduh yang berusia bawah 21 tahun dikategorikan sebagai pesalah muda bagi membantu mahkamah menilai latar belakang, keadaan diri dan faktor yang wajar dipertimbangkan sebelum hukuman dijatuhkan.


Berdasarkan laporan itu, hasil siasatan mendapati tertuduh mengalami kecederaan pada bahagian paha sehingga tidak mampu melakukan kerja berat.


Laporan sama turut menyatakan tertuduh seorang yang kurang bergaul, tidak mempunyai ramai rakan dan jarang keluar rumah. JKM juga memberi jaminan bahawa keluarganya mampu mengawal serta memantau tingkah lakunya.


Mengikut pertuduhan, Nur Syakilla didakwa mempromosikan perjudian dalam talian yang mempunyai elemen pertaruhan atau promosi perjudian pada jam 12.45 tengah hari, 23 Januari lalu di kawasan Pasar Marang.


Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.


Mahkamah mengambil kira ia adalah kesalahan pertama tertuduh sebelum memerintahkannya menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000, selain berharap hukuman itu memberi peluang kedua kepadanya serta menjadi peringatan kepada pempengaruh media sosial lain supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran lumayan mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian.


Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Marang pada Rabu.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon