Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini memerintahkan dua lelaki masing-masing dipenjara 14 hari dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan menjual sijil cuti sakit palsu antara Mac dan Julai lalu.
Tertuduh, Mohd Shukrie Zainuddin, 28, dan Muhammad Asyraf Zunaidy, 31, turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda diputuskan Majistret Ellyna Othman.
Mengikut kertas pertuduhan dibacakan bersama, Mohd Shukrie dan Muhammad Asyraf didakwa secara tidak jujur membuat dokumen palsu iaitu 40 sijil cuti sakit sebuah klinik dan menggunakan nama dan tandatangan seorang doktor dengan niat menipu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kilang di Jalan Bypass Gebeng, Kuantan antara 28 Mac hingga 13 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, B Deevagaran Naidu manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pada prosiding itu, peguam kedua-dua tertuduh dalam rayuan memaklumkan anak guamnya menginsafi kesalahan dan tidak akan mengulangi kesalahan itu serta memohon dikenakan hukuman denda.
Deevagaran Naidu pula mencadangkan hukuman yang setimpal terhadap kedua-dua tertuduh atas kesalahan yang dilakukan.
Mengambil kira hujah kedua-dua pihak, Ellyna menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh ditahan dan didenda RM8,000, masing-masing terhadap kedua-dua tertuduh.

EmoticonEmoticon