Rabu, 12 Ogos 2026

Geng pecah rumah warga China tumpas, lima ditahan bersama barang mewah


Kegiatan jenayah lima lelaki warga China memecah masuk kediaman di sekitar Cheras tumpas selepas mereka ditahan Ahad lalu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah membabitkan warga asing susulan penahanan lima suspek dalam dua serbuan berasingan.


Menurutnya, kejayaan itu susulan kejadian pecah rumah yang berlaku pada 4 Ogos lalu di sebuah kediaman di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur.


"Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM6,000 membabitkan kehilangan wang tunai, barangan kemas dan sebuah beg silang berjenama mewah.


"Bertindak atas maklumat dan risikan, pada jam 9.30 malam, dua operasi serbuan di kawasan Sri Petaling dan Pudu dilancarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, semasa serbuan polis turut merampas sebuah kenderaan berserta pelbagai peralatan yang digunakan bagi pecah rumah.


"Selain itu, polis juga menjumpai semula barangan kes milik pengadu serta pelbagai barangan mewah lain termasuk jam tangan, dompet serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah lebih RM10,000.


"Siasatan awal juga mendedahkan suspek turut terbabit dalam dua kes pecah rumah berlainan yang dilaporkan kepada polis di kawasan sekitar Cheras," katanya.


Katanya, semua suspek yang berusia antara 38 hingga 58 tahun direman mulai Isnin lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


EmoticonEmoticon