Seorang wanita berstatus isteri orang ditahan bersama seorang lelaki berstatus duda dalam satu operasi khalwat di sebuah rumah pangsa di daerah Kulai, pada jam 9.30 pagi, Khamis lalu.
Operasi dilakukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas menerima aduan awam berhubung kehadiran seorang lelaki di rumah wanita berkenaan.
Ketika tiba di lokasi, pintu rumah dibuka oleh seorang wanita berusia 30-an selepas beberapa minit diketuk oleh anggota penguat kuasa.
Hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah tersebut menemukan seorang kanak-kanak sedang tidur. Wanita itu memaklumkan kanak-kanak berkenaan ialah anak hasil perkahwinannya yang sah dengan suaminya.
Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik pula menemukan seorang lelaki berusia 30-an sedang berbaring dalam keadaan berpakaian lengkap.
Ketika ditanya mengenai hubungan mereka, wanita terbabit pada mulanya mendakwa lelaki itu merupakan saudara-maranya.
Bagaimanapun, selepas disoal lanjut, kedua-duanya gagal menjelaskan hubungan kekeluargaan tersebut sebelum mengakui mereka bukan mahram.
Lelaki berkenaan difahamkan berstatus duda, tidak bekerja dan berasal dari Negeri Sembilan, manakala wanita itu bekerja di Kulai.
Mereka dipercayai sudah berkenalan hampir setahun dan banyak berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Wanita terbabit turut memaklumkan suaminya bekerja di negeri lain dan jarang pulang ke rumah.
Dia juga mendakwa sedang berdepan masalah rumah tangga, namun masih belum bercerai dengan suaminya.
Penguat kuasa kemudian menasihatkan wanita itu supaya mendapatkan khidmat kaunseling di pejabat kadi sekiranya berdepan masalah rumah tangga.

EmoticonEmoticon