Misteri kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing dan memburu di kawasan hutan Kampung Takula, Sipitang sejak 3 Julai lalu, terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan dibalut dengan kanvas selepas polis menahan dua rakannya yang dipercayai terbabit.
Mangsa dipercayai terkena tembakan ketika menjalankan aktiviti memburu sebelum mayatnya ditemukan di kawasan hutan kira-kira satu kilometer dari Kampung Takula hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand, berkata, kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes orang hilang sebelum siasatan lanjut membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.
"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa yang dibalut menggunakan kanvas di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati tindakan membungkus mayat itu dipercayai dilakukan suspek kerana panik dan takut selepas kejadian berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas dua laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk daripada suspek semalam bagi membantu siasatan.
"Kedua-dua suspek yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.
Terdahulu, mangsa keluar bersama dua rakannya ke kawasan hutan Kampung Takula pada 3 Julai lalu untuk memancing dan memburu.
Bagaimanapun, dua rakannya pulang pada 5 Julai, manakala mangsa gagal pulang menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan polis pada 8 Julai sebelum kes itu disiasat sebagai kes orang hilang.

EmoticonEmoticon