Seorang lelaki yang mengaku bersalah menumbuk rakan sekursus selepas diprovokasi menerusi mesej dalam kumpulan WhatsApp dijatuhi hukuman denda RM500 atau seminggu penjara di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini.
Penolong Pendaftar Kanan Jessica Lee Suk Kiun menjatuhkan hukuman itu terhadap Timothy Jon Achon, 32, yang tidak diwakili peguam dan dituduh mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM1,000 jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan mangsa berusia 24 tahun dengan menumbuknya di bahagian rahang setelah diprovokasi oleh mangsa.
Kesalahan itu dilakukannya dalam satu kejadian pada 10 Ogos 2026, sekitar jam 11.40 malam di hostel sebuah agensi pembangunan industri pembinaan di Jalan Sultan Tengah, Kuching.
Fakta kes mendedahkan semasa dua sekawan terbabit menghadiri kursus di hostel tersebut, tertuduh menyerang mangsa menggunakan tangan sehingga mangsa mengalami bengkak pada bahagian pipi kiri.
Berikutan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh kemudiannya ditangkap. Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua lelaki tersebut merupakan rakan sekursus dan tinggal sebilik sejak dua bulan lalu.
Semasa kejadian, tertuduh menyerang mangsa selepas tidak berpuas hati diprovokasi dengan mesej dihantar oleh mangsa dalam kumpulan WhatsApp yang berbunyi, "standby all ready... jangan layap".
Terdapat saksi melihat secara langsung kejadian tersebut, yang turut cuba membantu meleraikan pergaduhan antara mereka. Malah, laporan pemeriksaan pegawai perubatan turut mengesahkan mangsa mengalami kecederaan.
Difahamkan, mangsa dikatakan sering dibuli dengan kata-kata tidak disenangi selain menyinggung perasaan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan.

EmoticonEmoticon