Rabu, 26 Ogos 2026

Pesta dadah di homestay mewah di Tawau, tiga pasangan direman empat hari


Tiga pasangan direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, bagi membantu siasatan penemuan ketamin dan cecair disyaki mengandungi ekstasi dalam serbuan di sebuah rumah inap mewah yang dipercayai disewa mereka di Taman Nordin, awal pagi tadi.


Perintah reman sehingga 30 September itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan polis bagi menjalankan siasatan lanjut.


Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 39 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Berdasarkan keterangan kes, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menyerbu rumah inap yang disewa suspek jam 4.30 pagi selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan dadah.


Sebaik tiba, pasukan polis memasuki sebuah bilik di tingkat bawah rumah berkenaan yang tidak berkunci sebelum menemukan kesemua enam suspek berada di dalam bilik itu. Pemeriksaan kemudian menemukan pinggan kaca mengandungi serbuk putih disyaki ketamin.


Polis turut menemukan sekeping kad dan sebatang rokok berjenama Dark Horse yang disyaki dicampur dadah jenis ketamin.


Turut dirampas sebuah jag kaca mengandungi cecair berwarna oren disyaki mengandungi ekstasi dengan anggaran isipadu 659.16 mililiter.


Susulan penemuan itu, kesemua suspek ditahan manakala barangan berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.


Permohonan reman dikemukakan Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Tawau, Sarjan Sulai man Rappeng.



EmoticonEmoticon