Seorang bekas pekerja kedai telefon bimbit dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Muar, hari ini, kerana membunuh seorang lelaki dengan menggunakan besi dalam satu pergaduhan, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Yew Lung, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Meor Hashimi berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan bertulis dan lisan daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.
"Mahkamah turut mempertimbangkan serta membuat penilaian maksimum terhadap keterangan dan kredibiliti saksi pembelaan (SP), iaitu tertuduh (selaku SP1), SP2 dan SP3, mengikut kehendak Seksyen 182(a) Kanun Prosedur Jenayah.
"Mahkamah berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh dan SP2 serta SP3 gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Pembelaan tertuduh, SP2 dan SP3 tidak boleh dipercayai atau tidak diterima oleh mahkamah ini. Malah, pembelaan tertuduh dan keterangan SP2 serta SP3 juga gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes ini.
"Semua intipati atau elemen pertuduhan berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah oleh pihak pendakwaan," katanya ketika membacakan keputusan beliau.
Meor Hashimi berkata, secara keseluruhan di akhir kes pembelaan, mahkamah berpuas hati serta mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah serta disabitkan kesalahan, dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun bermula dari tarikh tangkap (29 Januari 2020) serta 12 sebatan.
"Mahkamah memerintahkan semua ekshibit kes ini diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pelupusan selepas tamat tempoh rayuan," katanya.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, R K Balakrishnan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Tsun Chin Kiang, 43, di sebuah kedai menjual peralatan telefon di Jalan Perwira 1, Taman Perwira, Muar, antara jam 1.41 hingga 4.15 pagi 29 Januari 2020.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun berserta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa berada di kedai telefon berkenaan sebelum tercetus pergaduhan dengan tertuduh.
Kejadian itu menyebabkan mangsa parah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Namun selepas empat hari menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia.

EmoticonEmoticon