Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Setiu, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di Besut, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Hasni Mohd Rezki Ramli, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama kenalan wanita, tertuduh kedua, Mastura Idayu Ramalai, 34, didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga emas berusia 68 tahun.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengambil seutas rantai leher emas milik mangsa di sebuah rumah di Kampung Bukit Cina, Jertih, kira-kira jam 11.30 pagi pada 27 Julai lalu.
Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan hukuman sebatan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai serta tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan terutamanya mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Atifah Manaf. Mahkamah menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

EmoticonEmoticon