Seorang pesara tentera didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam, kerana menyebabkan kecederaan pada seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dengan menamparnya pada 11 Ogos lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Abdullah, 63, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di tepi Jalan TM35, Taman Tanjung Minyak, Melaka pada sekitar jam 5.15 petang 11 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian dilaporkan berlaku ketika pengadu (mangsa) sedang mengejar ayam di tepi Jalan TM35 sebelum didatangi tertuduh yang bertanya sama ada remaja itu mencuri ayam miliknya.
Mangsa menafikan tuduhan itu sebelum tertuduh didakwa menampar pipi kanannya dua kali sebelum remaja terbabit mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan membuat laporan polis.
Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan 'soft tissue injury right cheek'.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), JC Goh yang mewakili tertuduh, merayu supaya anak guamnya dikenakan denda minimum kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pesara tentera, selain perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga anak.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda itu.

EmoticonEmoticon