Selepas empat dekad menabur bakti, Tan Sri Azam Baki tidak dapat menahan sebak ketika menamatkan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Beliau yang mengemudi suruhanjaya itu selama enam tahun dilihat sebak ketika menyampaikan amanat terakhir di hadapan semua warga SPRM.
Berucap pada Majlis Penghargaan Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam menegaskan segala pencapaian dan kejayaan agensi berkenaan adalah hasil usaha seluruh warganya dan bukan bergantung kepada individu semata-mata.
Azam turut menzahirkan permohonan maaf atas segala kekurangan sepanjang mentadbir dan menguruskan organisasi itu.
"Saya memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dalam mentadbir serta menguruskan organisasi ini. Sesungguhnya, segala kelemahan itu datang daripada diri saya sendiri," katanya.
Dalam ucapan sama, Azam berkata, pengurusan SPRM mengambil pendirian yang jelas bahawa organisasi itu perlu kekal fokus kepada mandat utamanya.
Tegasnya, setiap usaha tidak boleh terganggu oleh gangguan politik atau tekanan publisiti negatif, di samping menegaskan SPRM tidak boleh terperangkap dalam naratif jangka pendek, sebaliknya terus bergerak berlandaskan prinsip bukti, integriti dan keberhasilan.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Azam mengakui berasa emosional ketika menyentuh mengenai keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang beliau menerajui SPRM.
"Mereka adalah penyokong saya selama ini dan mereka juga terpaksa menghadapi tekanan serta serangan terhadap saya sehingga terpaksa menempuh cabaran dan dugaan yang tidak sepatutnya mereka hadapi.
"Saya banyak kali mengatakan kepada mereka supaya jangan terlalu gusar kerana dunia ini bukan untuk dirunsingkan, sebaliknya untuk diuruskan," katanya.
Ditanya apakah perancangan beliau selepas bersara, Azam berkata, beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat dan negara dalam menegakkan tata kelola baik serta menyokong usaha pembanterasan rasuah oleh SPRM.
"Saya tetap akan bekerja dan berkhidmat kepada rakyat selagi mana tenaga saya diperlukan dan saya juga akan cuba membantu apa yang boleh berdasarkan pengalaman saya dalam menegakkan tadbir urus, integriti dan sebagainya," katanya.
Azam turut merakamkan penghargaan kepada warga media yang memainkan peranan membantunya dalam menyalurkan maklumat serta menyokongnya sepanjang menjawat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Saya amat terharu di atas sokongan semua rakan media sama ada media portal, media elektronik, 'mainstream' dan sebagainya.
"Terus terang saya katakan tidak pernah sejarah karier saya rakan-rakan media begitu memberi sokongan dan saya memang terbuka selama ini pun," katanya.

EmoticonEmoticon