Serbuan polis ke sebuah spa di Sabindo Square di Tawau membawa kepada penahanan seorang wanita warga Filipina yang disyaki terbabit aktiviti persundalan bersama seorang lelaki tempatan, semalam.
Wanita berusia 36 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum terhadap suspek bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Suspek ditahan dalam serbuan 'Op Noda' yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sebuah premis di Sabindo Square, kira-kira 5.15 petang, semalam.
Berdasarkan keterangan kes ketika permohonan reman di mahkamah pagi ini, operasi itu diketuai Inspektor Kasinam Kadri bersama beberapa anggota selepas polis menerima maklumat berkaitan disyaki berlaku aktiviti persundalan di premis berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati beberapa pekerja di premis terbabit memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di tingkat satu premis membawa kepada penemuan sebuah bilik yang dipercayai digunakan untuk aktiviti persundalan.
Polis kemudian menemui seorang pekerja wanita warga asing bersama seorang lelaki tempatan yang disyaki pelanggan berada di dalam bilik berkenaan.
Hasil pemeriksaan turut membawa kepada rampasan beberapa barang yang dipercayai berkaitan kes, antaranya kondom, pembungkus kondom, lesen, daftar kerja harian, telefon bimbit, salinan pasport dan wang tunai RM150.
Suspek wanita berkenaan kemudian ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan dan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau, Sarjan Mohd Jafni Junat.

EmoticonEmoticon