Khamis, 6 Ogos 2026

Suami isteri hilang akibat hutang kutu direman 4 hari bantu siasatan


Suami isteri yang menyerah diri pagi tadi selepas dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu akibat hutang duit kutu, direman empat hari untuk membantu siasatan.


Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri terhadap kedua-dua suspek berusia 39 dan 36 tahun itu yang direman bermula hari ini hingga Ahad ini untuk membantu siasatan.


Mereka direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Terdahulu pasangan suami isteri itu dibawa ke Mahkamah Jitra dengan menaiki lori polis pada jam 9 pagi untuk proses reman sebelum dibawa keluar dari mahkamah ke lokap Balai Polis Jitra selepas proses reman selesai.


Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak dilaporkan hilang dan gagal dihubungi selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam, sejak 20 Julai lalu.


Berikutan itu, bapa wanita terbabit yang berusia 62 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam semalam selepas gagal mengesan anak perempuannya, menantu serta cucunya itu.


Ahli keluarga memaklumkan kali terakhir mereka dapat menghubungi ketiga-tiga individu berkenaan adalah pada 20 Julai sebelum mereka gagal dihubungi.


Hasil siasatan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan itu mendapati tiga beranak itu pulang ke rumah dengan sebuah kenderaan pada jam 1.12 pagi Isnin lalu sebelum keluar semula tidak lama kemudian.


Semalam, polis tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak itu mempunyai kaitan dengan hutang bermain kutu susulan satu laporan polis diterima daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon