Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan kononnya berlaku campur tangan luar dalam pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai 'kenyanyukan' serta tidak memahami realiti politik.
Mengulas kenyataan Pengerusi Parti Wawasan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai dakwaan campur tangan luar dalam proses pelantikan itu, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, beliau tidak mahu melayan kenyataan sedemikian.
"Saya tidak mahu melayani kenyanyukan seseorang yang tidak memahami realiti politik bahawa nama mesti dikemukakan kepada pihak istana.
"Sebagai Pengerusi BN (Barisan Nasional), tentunya saya perlu mengemukakan watikah dan juga cadangan nama," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.
Rais sebelum ini dilapor mempersoalkan urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan termasuk mendakwa wujudnya campur tangan dari pihak luar dalam urusan adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jika tugasnya sebagai Pengerusi BN di peringkat pusat dianggap sebagai campur tangan orang luar, maka dakwaan itu jelas tidak berasas.
"Kalau tugas saya sebagai Pengerusi BN dianggap sebagai orang luar, ertinya kenyanyukan itu jelas terpancar daripada wajah orang yang mengatakannya begitu," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaan kononnya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) akan dilantik mengganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.
"Tidak akan pernah ada," katanya ringkas ketika ditanya mengenai dakwaan berkenaan.
Sebelum ini, wujud dakwaan bahawa ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH berkemungkinan menyertai pentadbiran Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Ismail.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan pihaknya sedang memuktamadkan senarai barisan EXCO yang akan dilantik dan pengumuman barisan EXCO dijangka dibuat pada Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.

EmoticonEmoticon