Hasrat tiga wanita rakyat Malaysia untuk bercuti ke Indonesia tidak kesampaian selepas mereka ditahan bersama dadah dalam pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta pada Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga wanita terbabit dan pihaknya juga sudah dimaklumkan berhubung perkara itu oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
Katanya, tiga wanita berkenaan berasal dari Sabah berusia 30 dan 39 tahun dan mereka datang ke negara berkenaan untuk bercuti.
"Hasil semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dadah.
"Mereka ke sana untuk bercuti. Dadah yang dirampas itu dipercayai lebih kepada untuk kegunaan sendiri dan jumlahnya kecil," katanya hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, tiga suspek wanita itu dipercayai tiada kaitan dengan sindiket membabitkan penahanan seorang lelaki Malaysia di Surabaya, sebelum ini.
Terdahulu, CNN Indonesia melaporkan, pegawai Kastam Lapangan Terbang Soekarno-Hatta menggagalkan cubaan penyeludupan dadah yang didakwa dilakukan tiga wanita penumpang pesawat.
Tiga wanita warga Malaysia itu dikesan pegawai cuba membawa masuk barang terlarang berkenaan dengan menyembunyikannya pada barangan bawaan termasuk dalam kasut.
Kejadian itu berlaku di Terminal 2F Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Isnin dan pesawat yang membawa tiga penumpang wanita itu datang dari Kota Kinabalu.
Dilaporkan, dadah berkenaan dipercayai dibawa dalam beg peralatan mandian dalam bagasi, dalam dompet, dalam bungkusan ubat, poket jaket, dan kasut yang dipakai.
Jumlah barang bukti yang diperoleh pegawai ialah 0.5 gram (g) disyaki kokain, 0.3g disyaki kokain, 2g serbuk disyaki kokain, 4.2g pil disyaki MDMA, 1.8g serbuk disyaki ketamin, 2.4g pil disyaki MDMA, dan 16.9g tembakau disyaki bercampur ketamin.
Selain itu, turut dirampas 1.4 g disyaki kokain, satu unit kartrij disyaki mengandungi ketamin dengan pihak berkuasa juga sudah menjalankan ujian sampel terhadap barangan yang diperiksa itu.

EmoticonEmoticon