Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah susulan penahanan seorang duda sekali gus membolehkan bahan terlarang bernilai lebih RM1.6 juta dirampas, minggu lalu.
Serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Taman Mulia, Batu Pahat, pada jam 7.45 malam dan turut menahan lelaki berusia 33 tahun dipercayai pengedar dadah.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam serbuan itu, polis merampas serbuk disyaki jenis ekstasi dan ketamin seberat 9,925.7 gram (g).
Menurutnya, siasatan mendapati suspek beroperasi secara solo dengan menjadikan rumah terbabit sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Katanya, hasil siasatan dijalankan, suspek dipercayai melakukan kegiatan ini sejak bulan lalu.
"Dalam serbuan itu, polis menemui serbuk ekstasi seberat 9,465.40g bernilai RM1.58 juta, manakala ketamin, 460.30g bernilai RM23,000.
"Siasatan juga mendapati dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 47,000 penagih," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulanuar berkata, saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah selain tiada rekod jenayah mahupun dadah.
Menurutnya, polis turut menyita sebuah kereta dan wang tunai RM5,000 dengan kesemua nilai sitaan berjumlah RM45,000.
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
EmoticonEmoticon