Rabu, 17 April 2024

Polis kesan lelaki kes rakam video, gambar dalam tandas wanita


Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan membabitkan kes merakam gambar atau mengambil video seorang wanita di tandas sebuah pusat beli-belah bebas cukai di Jalan Haji Saman di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa, 6 April lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes mengaibkan kehormatan daripada seorang pengadu pada Rabu.


"Kami menerima laporan daripada mangsa wanita yang berusia dalam lingkungan 20 tahun, jam 3.34 petang, pada 7 April lalu.


"Kejadian berlaku pada 8.40 malam di mana pengadu menyedari ada individu tidak dikenali sedang memegang telefon bimbit di bawah pintu tandas dan disyaki sedang merakam gambar atau video.


"Susulan kejadian itu, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an, berbaju hitam, berseluar coklat, bermisai serta berjanggut nipis selain memakai selipar," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan lelaki dalam rakaman CCTV tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Wan Azman Mat Salleh di talian 012-8260050 bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.


Lelaki yang disyaki melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan di tandas wanita di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu pada Selasa, 6 April lalu.


EmoticonEmoticon