Seorang lelaki dari Rusia yang dikenali 'Popeye Rusia' kerana memiliki lengan sasa sebab menyuntik sejenis minyak ke dalam otot lengannya, terpaksa dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi kesihatan yang serius, lapor Daily Star pada 8 Jun 2025.
Kirill Tereshin, 28, pempengaruh media sosial yang mendapat jolokan 'Ruki Bazooki' atau 'Bazooka Arms' oleh media Rusia, menjadi terkenal dengan tindakan ekstremnya 'membesarkan' otot bisep menggunakan ramuan buatan sendiri seakan minyak suntikan pembesaran otot (site enhancement oil).
Namun, tindakan berbahayanya itu nampaknya memakan diri.
Empat hari lalu, Tereshin memuat naik gambar di Instagram yang menunjukkan lengannya yang dibalut dengan kain kasa, dipercayai bahan itu bocor selepas menjalani pembedahan.
Dalam gambar berkenaan, latar belakang turut menunjukkan katil serta peralatan hospital.
Kapsyen gambar berkenaan berbunyi: "Pembedahan buang bisep."
Pemerhati menyifatkan Tereshin mungkin akhirnya mendengar nasihat rakan, peminat dan ahli keluarga yang selama ini bimbang akan tahap kesihatannya.
Pada 2017, ibunya, Irina pernah menyatakan secara terbuka dalam siaran televisyen bahawa dia menentang keras perubahan fizikal anaknya dan menyifatkan Tereshin sebagai 'tikus makmal dalam talian'.
Setahun kemudian, seorang doktor Rusia, Evgeny Lilin memberi amaran Tereshin berisiko tinggi untuk kehilangan tangan akibat suntikan itu.
"Tidak serta-merta, tetapi kemungkinan besar dia akan menghadapi amputasi pada masa depan. Satu hari nanti akan timbul bisul, diikuti keradangan dan risiko strok," kata Lilin.
Beberapa hari selepas gambar pertama dimuat naik, Tereshin sekali lagi berkongsi video memaparkan dia menggerakkan lengannya yang kini kelihatan sedikit kecil, namun masih kelihatan cacat dan tidak semula jadi.
Pengguna media sosial tidak melepaskan peluang meninggalkan komen, antaranya: "Macam mana kau nak cari duit sekarang?",
"Saya langsung tak simpati… Tetapi, ada sesiapa terkejut ke?"
Namun, ada juga yang menunjukkan empati: "Saya harap pembedahan kau berjaya dan cepat sembuh."
Sebelum ini, bekas tentera itu pernah menjalani pembedahan untuk membuang otot triseps yang rosak dan membersihkan cecair berlebihan akibat bahan yang disuntik.
Tereshin sendiri mengakui masalah kesihatannya berpunca daripada kebodohannya sendiri selepas mula menyuntik bahan ke dalam lengan sejak usia 20 tahun. - Sumber Daily Star.
EmoticonEmoticon