Ahad, 8 Jun 2025

Ibu gajah enggan berganjak setia tunggu anak terkena jerat di ladang sawit


Aksi seekor ibu gajah liar yang enggan berganjak dari sisi anaknya yang terkena jerat di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Felda Neram II, Kemaman, menyentuh hati dan meraih perhatian ramai.


Kejadian pada Khamis lalu itu tular selepas video berdurasi satu minit tiga saat menunjukkan ibu gajah berkenaan kekal berada di sisi anaknya, meskipun terdapat gajah lain mula meninggalkan lokasi tersebut.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, anak gajah itu dipercayai terkena jerat tali lembu yang dipasang oleh penternak di kawasan ladang berkenaan sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan Perhilitan.


Jelas beliau, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi berkenaan.


"Sebaik tiba, kami dapati seekor anak gajah terkena jerat di bahagian kaki, manakala lima ekor gajah dewasa berada berhampiran, termasuk ibu kepada anak gajah itu," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.



Menurutnya, bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar, anggota Perhilitan terpaksa melepaskan tembakan pelali ke arah gajah betina berkenaan.


"Selepas ibu gajah tidak sedarkan diri, anggota Perhilitan bertindak menghalau gajah dewasa lain sebelum memotong jerat yang membelit kaki anak gajah terbabit.


"Pemeriksaan mendapati anak gajah tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan stabil," katanya.


Beliau berkata, ibu gajah itu kemudiannya diberikan antidot bagi memulihkan kesan pelali sebelum ia kembali sedar dan dilepaskan semula kepada kawanan gajah liar berkenaan.


"Jerat yang dipasang dipercayai milik penternak lembu yang menjadikan kawasan ladang tersebut sebagai laluan ternakan.


"Difahamkan, berlaku gangguan gajah liar di ladang itu pada waktu pagi dan pihak pengurusan ladang telah mengambil langkah menghalau kumpulan tersebut keluar.


"Ada kemungkinan anak gajah itu tersasar lalu terkena jerat ketika cuba kembali ke hutan," jelasnya.


Anggota Perhilitan berusaha mengeluarkan kaki anak gajah yang terkena tali lembu di ladang kelapa sawit berhampiran Felda Neram II, di Kemaman. - Foto Perhilitan Terengganu.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon