Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah dan pengedaran air ketum selepas menyerbu sebuah pondok yang dijadikan 'port' pemprosesan bahan terlarang itu di kawasan kebun getah di Kampung Air Kayan, Tanah Merah, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, menerusi Op Taring Wawasan dilakukan pada jam 5.30 petang itu pihaknya berjaya menahan dua lelaki yang bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
"Susulan serbuan itu, pemeriksaan lanjut di dalam pondok tersebut menemukan sebanyak 180 kilogram daun ketum, 35 bungkus air ketum, beberapa peralatan memproses ketum serta 7.30 gram dadah jenis syabu," katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua suspek yang ditahan turut didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan awal dijalankan.
Ujarnya, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM9,850 dan telah serahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
"Pihak PGA akan terus mempertingkatkan usaha bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan air ketum khususnya di kawasan sempadan negara," katanya.
EmoticonEmoticon