Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengesan 18 kes membabitkan penumpang bas ekspres dan bas persiaran yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika operasi khas, semalam.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, dalam operasi itu, pihaknya melakukan pemeriksaan membabitkan 18 bas iaitu 14 daripadanya bas ekspres, manakala empat lagi bas persiaran.
Beliau berkata, bagaimanapun, dua kesalahan membabitkan individu bawah usia 18 tahun hanya diberikan nasihat dan advokasi, manakala 16 penumpang lain dikenakan kompaun setiap seorang RM300.
"Bermula hari ini (semalam), JPJ Kedah melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu dan semua penumpang bas ekspres dan bas persiaran.
"Ia selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-kanak) 1978 Pindaan (2008)," katanya pada sidang media di Plaza Tol Alor Setar Utara, semalam.
Stien berkata, langkah ini bertujuan untuk mengurangkan risiko kecederaan dan kematian dalam kemalangan membabitkan bas.
Beliau berkata, ia juga untuk meningkatkan kesedaran dan disiplin keselamatan jalan raya dalam kalangan penumpang bas.
"Kompaun dikeluarkan kepada penumpang jika tidak memakai tali pinggang keledar dan penumpang juga boleh membuat aduan kepada pemandu bas berkenaan sekiranya tali pinggang berkenaan dalam keadaan tidak baik sebelum memulakan perjalanan.
"Pengusaha bas ekspres juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan bas yang bermula pada 1 Januari 2020 wajib mempunyai tali pinggang keledar, manakala bas sebelum itu disarankan menyediakan kemudahan itu untuk keselamatan penumpang sebelum memulakan perjalanan," katanya.
Stien berkata, dalam operasi semalam, ada dalam kalangan penumpang memberi alasan tidak selesa memakai tali pinggang selain mendakwa tidak tahu kena wajib memakainya.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam bas ketika operasi itu juga mendapati, ada tali pinggang keledar yang keadaannya tidak bagus.
"Kita juga akan melakukan penyamaran di dalam bas yang membabitkan perjalanan jarak jauh untuk memastikan semua penumpang mematuhi peraturan ditetapkan.
"Jika ada penumpang yang didapati tidak memakai dan ada bukti rakaman digital, kita akan keluarkan kompaun terhadap penumpang terbabit.
"Pemandu bas pula janganlah hanya nasihat tetapi tidak pakai tali pinggang, mereka juga akan dikenakan tindakan kompaun," katanya.
EmoticonEmoticon