PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kembali menjalankan tugas hari ini selepas bercuti minggu lalu dengan mempengerusikan Mesyuarat Commander's Call Bil. 3/2026.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi AKPS, mesyuarat itu menghimpunkan pegawai kanan serta komander pintu masuk agensi berkenaan bagi membincangkan perancangan Gerak Atur 2027.
Perbincangan memberi tumpuan kepada pengukuhan hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
AKPS turut menekankan kepentingan penyelarasan gerak kerja, integriti dan keselamatan di semua pintu masuk negara bagi memastikan kecekapan operasi terus dipertingkatkan.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily, yang berkhidmat melalui kontrak peminjaman kader, kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkembangan itu berlaku ketika beliau berdepan proses perundangan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 28 September lalu.
Mohd Shuhaily, 54, didakwa mencederakan Mohamad Faiz Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA, antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

EmoticonEmoticon