Rabu, 28 Oktober 2026

Kediaman mewah disyaki jadi sarang penipuan pelaburan, 20 warga asing dicekup


KUALA LUMPUR - Di sebalik kemewahan empat unit kediaman di kawasan Pudu, tersembunyi kegiatan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang dipercayai menyasarkan mangsa di beberapa negara.


Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen menyerbu kediaman berkenaan di sekitar Jalan San Peng, semalam, sebelum menahan 20 warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula kira-kira jam 11.45 pagi itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.


Menurutnya, individu yang ditahan terdiri daripada warga Taiwan, China, India dan Thailand yang dipercayai mengendalikan kegiatan penipuan mengikut kumpulan sasaran negara masing-masing, termasuk Thailand, India, Taiwan dan Jepun.


"Sindiket dipercayai menyewa kediaman mewah bagi dijadikan pusat operasi untuk mengaburi pihak berkuasa.


"Siasatan mendapati pekerja warga asing di premis berkenaan tidak dibenarkan keluar secara bebas, manakala bekalan makanan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan," katanya dalam kenyataan.


Sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak sebulan lalu dengan waktu operasi antara jam 8 pagi hingga 8 malam.


Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa turut menemukan skrip penipuan dalam bahasa Thailand serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.


Antara yang dirampas ialah 45 telefon bimbit, lapan komputer meja, tiga komputer riba, lima penghala internet, empat walkie-talkie, 11 pasport, kad akses dan wang tunai RM5,370.


Turut disita beberapa mata wang asing, termasuk 1,400 kyat Myanmar, 36,000 riel Kemboja, 4.28 juta dong Vietnam dan 31,000 dolar Taiwan.


Pemeriksaan di sebuah unit kediaman turut menemukan pelbagai jenis ubat yang dipercayai dibawa dari luar negara.


Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut beberapa peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Zakaria menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan warga asing yang melanggar undang-undang negara.


EmoticonEmoticon