SHAH ALAM - Tindakan licik seorang lelaki menyamar sebagai pegawai pengiring Raja Muda Selangor sejak 2023 bagi memperdaya orang ramai menggunakan nama dan imej institusi diraja akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis di Johor Bahru, Selasa lalu.
Lebih mengejutkan, kegiatan penipuan suspek berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mengakibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM1.42 juta melibatkan 26 laporan polis di seluruh negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditahan di sebuah kondominium dipercayai milik kenalannya di Johor Bahru kira-kira jam 5 petang selepas menghilangkan diri sejak 13 Oktober lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek menggunakan gambar Raja Muda Selangor bagi meyakinkan mangsa sebelum menawarkan urusan penjualan kenderaan dan hartanah pada harga tertentu.
"Sebanyak 26 laporan polis diterima di seluruh negara, termasuk 15 laporan di Selangor dengan jumlah kerugian RM960,020," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai bermula sejak 2023 dan turut melibatkan mangsa dari beberapa negeri lain.
Dalam perkembangan sama, polis turut menahan dua beradik yang dipercayai membantu menyembunyikan suspek utama.
Kedua-duanya terdiri daripada seorang wanita berusia 26 tahun dan abangnya berusia 27 tahun yang diberkas di lokasi berasingan, masing-masing di Shah Alam dan Johor Bahru.
"Hasil perkongsian maklumat orang ramai membantu polis mengesan serta menahan suspek utama dalam operasi yang dijalankan," katanya.
Menurut Shazeli, siasatan turut melibatkan beberapa kontinjen polis lain termasuk Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Perlis.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu disahkan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kakitangan istana atau mana-mana institusi diraja Selangor.
Antara hartanah yang ditawarkan kepada mangsa termasuk rumah atas tanah dan kondominium, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan modus operandi kegiatan berkenaan.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor.
Pentadbiran Istana Selangor sebelum ini turut menegaskan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyamaran atau penyalahgunaan nama institusi diraja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menggunakan nama atau imej kerabat diraja untuk menawarkan urusan jual beli, selain memastikan setiap transaksi kewangan dibuat selepas pengesahan menerusi saluran rasmi.

EmoticonEmoticon