PEKAN - Seorang jururawat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memalsukan 10 sijil cuti sakit (MC) yang didakwa menggunakan nama pegawai perubatan Klinik Komuniti Kuala Pahang.
Tertuduh, Zaleha Ismail, 55, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memalsukan 10 sijil sakit yang kononnya dikeluarkan pegawai perubatan klinik berkenaan antara 1 Mac hingga 27 April tahun ini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Aqilah Lokman, memaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat menawarkan jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin, namun menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.
Beliau mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berdasarkan keseriusan kes.
Bagaimanapun, peguam Ahmad Deniel Roslan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM3,500 sebulan dan perlu menyara keluarga, termasuk suaminya yang menghidap angin ahmar.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan dia melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan setiap Rabu sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes.

EmoticonEmoticon