Selasa, 8 Julai 2025

Polis 'buru' kumpulan pengayuh basikal halang laluan bas


Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur menghala Sungai Buloh selepas lampu isyarat Batu Arang, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.35 pagi (Ahad).


"Siasatan awal mendapati mereka mengayuh basikal secara berkumpulan di lorong kiri jalan berkenaan yang kemudian dipercayai menghalang pergerakan sebuah bas yang turut berada di situ.


"Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan dalam kejadian itu," katanya hari ini.


Jelasnya, kes disiasat mengikut Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.


Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor atau mana-mana balai polis berhampiran.


"Polis juga menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan menghormati keselesaan pengguna lain," katanya.


Terdahulu, media tempatan melaporkan Rapid Bus sedang menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan bas perantara Aliran Transit Massa (MRT) dan sekumpulan penunggang basikal yang tular di media sosial itu.


Kejadian berlaku selepas pemandu bas terpaksa memberhentikan kenderaan akibat halangan daripada sekumpulan penunggang basikal yang mengayuh secara berkumpulan di hadapannya.


Namun, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan itu menenangkan keadaan.


Tangkap layar video kejadian tular itu.


EmoticonEmoticon