Rabu, 25 November 2026

Kes Mohd Shuhaily: Semua pihak terlibat dikenakan perintah larangan beri kenyataan luar mahkamah


Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah larangan bersuara atau gag order terhadap semua pihak terlibat dalam kes Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, termasuk pihak pendakwaan, barisan pembelaan, dua anggota polis yang menjadi pengadu serta peguam pemerhati mereka.


Perintah itu turut mengikat dua peguam daripada Tetuan Kamal Hisham & Associates, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin, yang mewakili kedua-dua anggota polis berkenaan sebagai peguam pemerhati.


Majistret Khairatul Animah Jelani membenarkan permohonan pihak pembelaan terhadap Mohd Shuhaily, 54, selepas meneliti notis usul, hujahan kedua-dua pihak, afidavit serta ekshibit yang dikemukakan.


Mahkamah turut mengambil kira pendirian pihak pendakwaan yang tidak membantah permohonan tersebut sebelum memutuskan untuk mengeluarkan perintah berkenaan.


Peguam Kitson Foong yang mewakili Mohd Shuhaily berkata, notis usul bagi mendapatkan perintah itu telah difailkan di Mahkamah Majistret pada Selasa.


Beliau menjelaskan, larangan berkenaan hanya terpakai kepada lima pihak yang dinamakan dalam permohonan dan tidak melibatkan orang awam atau media.


Perintah itu bertujuan mengelakkan kenyataan di luar mahkamah yang berpotensi menjejaskan prosiding perbicaraan, termasuk berkaitan merit pertuduhan, bukti perubatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kebolehpercayaan saksi, kelakuan atau sikap orang kena saman (OKS), serta kenyataan yang menggambarkan OKS bersalah atau tidak bersalah.


Bagaimanapun, perintah itu tidak menghalang media daripada melaporkan prosiding mahkamah secara adil dan tepat, selain tidak menyekat mana-mana pihak daripada berkomunikasi dengan peguam masing-masing.


Kitson berkata, perintah berkenaan mempunyai tempoh tertentu dan akan tamat sebaik sahaja kes selesai dibicarakan. Larangan itu juga terpakai secara sama rata kepada pihak lawan, OKS dan barisan peguamnya.


Barisan pembelaan turut diwakili Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Datuk Yaacob Md Sam, Md Yunos Shariff, Badruzzaman Ishak, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Akberdin Abdul Kader.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan kerana mahkamah perlu memastikan tiada perkara yang boleh menjejaskan perjalanan perbicaraan.


Beliau menegaskan pihak pendakwaan tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh mempersoalkan atau memprejudiskan prosiding kes.


Shahrizat hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.


Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.


Kesalahan itu didakwa berlaku di kaunter Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara jam 1.27 hingga 1.35 petang pada 28 September lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Dalam perkembangan sama, pihak pendakwaan memohon supaya kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama atas alasan melibatkan OKS dan saksi yang sama.


Permohonan itu tidak dibantah pihak pembelaan dan dibenarkan mahkamah, yang menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon