Bau busuk najis binatang dari sebuah kedai runcit berjaya membongkarkan kegiatan seorang warga Pakistan dipercayai menjual ayam hidup yang disembunyikan dalam tandas.
Kedai runcit yang diuruskan individu terbabit dan tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dikesan menerusi operasi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di Taman Cheng Emas, Cheng baru-baru ini.
Pengarahnya, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguat kuasa mendapati premis itu bukan sahaja dicemari bau busuk najis unggas berkenaan malah dalam keadaan kotor.
Menurutnya, pada awalnya lelaki berusia 40-an itu berdolak-dalik dan menafikan dia menjalankan perniagaan di premis itu yang turut dikesan belum mendapat lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan.
"Bagaimanapun selepas ditunjukkan bukti berlakunya aktiviti perniagaan, lelaki itu mengaku menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen PBT.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati premis itu gagal menyelenggara tanda harga serta menggunakan alat sukat iaitu timbangan elektronik yang tidak ditentusahkan dan telah tamat tempoh," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 4 minit 40 saat yang dimuat naik KPDN Melaka di aplikasi TikTok.
Video berkenaan memaparkan pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan di kedai runcit itu sebelum menemui lebih tujuh ekor ayam hidup yang disorokkan dalam tandas berhampiran stor.
Mengulas lanjut Mohd Hazimin berkata, difahamkan peniaga Pakistan berkenaan dalam proses menukar hak milik perniagaan yang dibeli daripada warga tempatan dan hanya mempunyai lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"KPDN Melaka mengeluarkan kompaun keseluruhan RM500 mengikut Akta Timbang Dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencacutan 2011.
"Pemeriksaan dilakukan mendapati individu itu gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan, namun tiada sitaan dilakukan," ujarnya.
EmoticonEmoticon