Sabtu, 14 Februari 2026

Mama sudah bayar RM7,000 selepas putus tunang - Anak mangsa bunuh


"Lelaki itu bersetuju putus, tapi dia minta RM7,000. Mama sudah bayar." Demikian dakwa seorang lelaki ketika menceritakan konflik pertunangan yang dipercayai menjadi titik mula kepada tragedi pembunuhan ibunya di Kepayan, Kota Kinabalu baru-baru ini.


Dia yang berkongsi perkara itu menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok malam tadi berkata, sepanjang tempoh pertunangan kira-kira dua hingga tiga bulan, hubungan ibunya dengan lelaki terbabit sering berlaku pertengkaran mulut akibat perbezaan pendapat dan kurang sefahaman.


"Apabila sudah selalu bergaduh, mama buat keputusan untuk tidak teruskan. Dia datang jumpa keluarga dan setuju putus, tapi minta RM7,000. Mama sudah bayar," katanya.


Dalam siaran langsung itu, anak mangsa mendakwa, selepas pertunangan diputuskan, dia sudah menasihati ibunya supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki berkenaan, walaupun sekadar berkawan.


"Namun begitu, walaupun hubungan sudah berakhir, lelaki (pelaku) terbabit masih mengganggu ibu saya. Pelaku tidak menggunakan satu nombor telefon sahaja, sebaliknya menghubungi menggunakan enam nombor berbeza.


"Dalam masa sama, saya ada menasihati ibu supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki terbabit. Walaupun sekadar berkawan. Saya meminta supaya ibu menjauhkan diri sepenuhnya daripada individu itu.


"Ibu saya bersetuju dan berkata, dia akan mengikut nasihat saya serta melakukan apa yang terbaik demi kebaikan bersama," katanya.


Dakwanya lagi, mamanya kemudian mengenali seorang lelaki lain dan tidak lama mereka berkahwin pada awal Januari lalu.


Menceritakan sehari sebelum kejadian, anak mangsa berkata, pada Selasa minggu terbabit, ibunya menghadiri majlis kenduri sebelum pulang ke rumah dan keluar semula pada sebelah petang selepas memaklumkan mahu berjumpa seseorang bagi urusan tertentu.


"Antara 5 hingga 6 petang, ibu gagal dihubungi. Panggilan telefon dan mesej tidak berjawab, malah telefonnya tidak lagi aktif.


"Kami mula risau sebab mama biasanya akan telefon kalau sudah lewat. Abang saya tidak tidur satu malam, setiap setengah jam dia cuba hubungi mama sampai pagi.


"Keesokan harinya, keluarga dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang wanita. Hati mereka mula tidak sedap apabila melihat perkongsian di media sosial yang memaparkan sebahagian anggota badan mangsa.


"Saya kenal tangan mama saya. Memang itu tangan dia," katanya.


Jelasnya, keluarga kemudian dipanggil ke balai polis untuk proses pengecaman sebelum mengesahkan mayat itu adalah ibunya.


"Selepas keluarga memaklumkan kepada polis mengenai bekas tunang sebagai individu yang disyaki, pihak berkuasa menyerbu rumah lelaki terbabit dan menemukan kesan darah dalam jumlah yang banyak selain beberapa barangan dipercayai milik mangsa.


"Suspek akhirnya ditahan ketika mendapatkan rawatan di hospital, manakala anaknya turut dipanggil membantu siasatan.


Menceritakan proses pengebumian ibunya, dia berkata, mama kemudiannya dikebumikan walaupun anggota tubuhnya tidak lengkap.


"Masih terdapat beberapa bahagian anggota badan yang belum ditemukan, namun keluarga mengambil keputusan untuk meneruskan pengebumian bagi menghormati arwah.


"Kami reda dan bersyukur mama sudah selamat dikebumikan," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon