Jumaat, 13 Februari 2026

Terpaksa panggil polis lepas sejam gagal pujuk lelaki Pakistan serah kunci motosikal


Seorang lelaki Pakistan bersikap 'kepala batu' apabila enggan bekerjasama dan menyerahkan kunci motosikalnya selama hampir sejam biarpun diarahkan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam operasi penguat kuasaan harian di seluruh negeri ini.


Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, berikutan itu pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan pihak polis bagi memujuk lelaki berusia 30-an itu.


Menurutnya, lelaki itu antara empat penunggang motosikal warga asing yang ditahan dalam operasi kelmarin selepas gagal mengemukakan lesen memandu yang sah.


"Individu terbabit enggan memberi kerjasama dan tidak menyerahkan kunci motosikalnya walaupun diarahkan anggota penguat kuasa bagi tujuan dokumentasi dan penyitaan.


"Tindakannya menyebabkan proses penguatkuasaan mengambil masa hampir sejam, sebelum berjaya diselesaikan dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir bagi memujuk dan mengawal keadaan," katanya.


Beliau berkata, operasi penguatkuasaan itu bertujuan membanteras pemanduan dan penunggangan kenderaan tanpa lesen memandu yang sah, khususnya membabitkan pemandu warga asing (PEWA).


Siti Zarina berkata, sebuah van dipandu warga asing membawa bakul-bakul sayur turut ditahan atas kesalahan sama.


"Hasil pemeriksaan mendapati van itu dipercayai dipinjamkan oleh majikan kepada pemandu terbabit.


"Tindakan tegas tetap diambil kerana memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan serius yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya.


Menurutnya, keseluruhan enam kenderaan iaitu empat motosikal, sebuah van dan kereta disita dalam operasi itu dan kesemuanya dibawa ke kandang sita JPJ untuk tindakan lanjut.


Katanya, pemilik kenderaan tidak boleh 'lepas tangan' dengan membenarkan individu tanpa lesen atau warga asing memandu atau menunggang kenderaan mereka.


"Pemilik boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana bersubahat atau cuai dan JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," katanya.


EmoticonEmoticon