Sabtu, 20 Disember 2025

Banjir Sumatera: Negara Arab hairan keputusan Indonesia tolak bantuan asing


Keputusan pemerintah Indonesia menolak bantuan kemanusiaan asing susulan bencana banjir dan tanah runtuh besar di Pulau Sumatera menimbulkan tanda tanya dalam kalangan negara-negara Arab, meskipun skala kemusnahan dan korban yang direkodkan amat tinggi.


Bencana yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat sejak akhir November hingga awal Disember 2025 itu mengorbankan lebih 1,000 nyawa manakala ratusan lagi masih dilaporkan hilang.


Lebih 800,000 penduduk terpaksa berpindah, sementara kerugian ekonomi dianggarkan melebihi AS$3.1 bilion (sekitar RM12.6 bilion).


Namun, di sebalik tawaran bantuan daripada beberapa negara Asia Barat termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Oman, dan Iran, kerajaan Indonesia memilih untuk menangani krisis itu secara dalaman.


Datuk Bandar Kota Medan, Rico Waas, mengesahkan bahawa sumbangan 30 tan beras daripada UAE telah dipulangkan berikutan keputusan kerajaan pusat yang belum membuka pintu kepada bantuan antarabangsa.


"Kami tidak menerima bantuan tersebut selepas merujuk kepada garis panduan dan arahan kerajaan pusat," katanya kepada media pada Khamis.


Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sebelum ini menyatakan bahawa beberapa pemimpin dunia telah menghubunginya bagi menawarkan bantuan, namun beliau menegaskan Indonesia masih berkeupayaan menguruskan situasi itu sendiri.


"Terima kasih atas keprihatinan, tetapi kami mampu menanganinya," katanya dalam mesyuarat Kabinet.


Menurut laporan Middle East Monitor, negara-negara Arab menyifatkan keputusan itu sebagai luar jangka, memandangkan bantuan yang ditawarkan adalah atas dasar kemanusiaan, solidariti keagamaan, dan hubungan persahabatan jangka panjang.


Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman serta Raja Salman dilaporkan mengutuskan mesej takziah peribadi manakala UAE dan Qatar menyatakan kesediaan menghantar pasukan bantuan serta logistik segera.


Pakar hubungan antarabangsa dari Centre for Economic and Law Studies (CELIOS), Dr Muhammad Zulfikar Rakhmat berkata, keengganan Indonesia menerima bantuan berpotensi mencetuskan ketidakselesaan diplomatik, meskipun tidak menjejaskan hubungan jangka panjang.


"Negara-negara Asia Barat bertindak atas dasar keprihatinan tulus, manakala Indonesia bertindak berdasarkan pertimbangan kedaulatan dan sensitiviti domestik," katanya.


Pemerhati turut mengaitkan pendirian kerajaan dengan isu tata kelola alam sekitar, susulan dakwaan bahawa kawasan terjejas bertindih dengan konsesi perlombongan, perladangan dan pembalakan di kawasan hulu sungai.


Aktivis alam sekitar memberi amaran bahawa kehadiran pasukan antarabangsa berkemungkinan membuka penelitian global terhadap pengurusan sumber dan dasar pembangunan, sesuatu yang dianggap sensitif bagi pentadbiran baharu Indonesia.


Walaupun keputusan tersebut terus dipertahankan atas dasar keupayaan nasional, situasi di Sumatera kekal kritikal, dengan ribuan mangsa masih bergantung kepada bantuan kecemasan dan sokongan komuniti setempat


Datuk Bandar Kota Medan, Rico Waas (tengah), mengesahkan bahawa sumbangan 30 tan beras daripada UAE telah dipulangkan berikutan keputusan kerajaan pusat yang belum membuka pintu kepada bantuan antarabangsa. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon